Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Tuesday, August 14, 2007

Muqaddimah

Pendahuluan lmu Dhabtul Quran
Sepertimana yang telah disebutkan dalam artikel yang lepas sejarah awal dhabtul Quran adalah dimulakan dengan meletakkan titik dan baris. Pada kali ini ana akan menceritakan bagaimana permulaannya dan seterusnya berkembang dan dihalusi lagi sehingga yang dapat kita lihat dan baca pada mushaf yang terkini pada hari ini insyaAllah.
Titik dan Baris
Titik ataupun nuqtah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
1. Nuqtah I’rab ialah suatu tanda yang menunjukkan harakah(baris), sukun(mati), syadd(sabdu), mad(panjang) atau sebagainya
2. Nuqtah I’jam pula ialah suatu tanda yang menunjukkan zat-zat huruf bagi membezakan mu’jam dan muhmal seperti titik pada huruf ba’ disebelah baah, ta’ dua titik sebelah atas dan tha’ tiga titik di sebelah atas dan begitulah seterusnya.
Baris atau syakl ialah suatu tanda yang memberi harakah kepada huruf-huruf al-Quran atau sukun, syaddah, mad dan sebagainya. Inilah yang disebut dengan DHABT merupakan isi perbincangan yang utama dalam ilmu ini.
Perselisihan ulama’
1.
Siapakah yang mula mencipta nuqtah-nuqtah tersebut?
Para ulama’ lebih condong mengatakan orang pertama yang mencipta nuqtah I’rab ialah Abul Aswad Ad-Duali atas arahan Zaid yang menjadi gabenor di Basrah pada masa itu di bawah tampuk pimpinan Khalifah Muawiyyah bin Abu Sufyan.
Beliau mulakan dengan mengi’rab al-Quran dan memerintahkan supaya harakah yang disebutkan diletakkan nuqtah dengan warna yang berlainan dengan tulisan mushaf. Dipetik arahannya seperti berikut:
“Apabila aku membuka kedua bibirku letakkan satu titik di atas huruf itu, bila aku muncungkan kedua bibirku letakkan satu titik di selah hadapannya, dan bila aku kebawahkan bibirku letakkan satu titik di sebelah bawahnya. Bila aku turutkan harakah itu dengan dengung (tanwin), kamu letakkan dua titik pada huruf tersebut”
Daripada usaha Abul Aswad ini timbul pelbagai rekaan baru yang dicipta oleh para ulama’ mutaakhirin dengan perubahan yang sesuai mengikut peredaran zaman.
Nuqtah I’jam pula dicipta oleh Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ma’mar mengikut pendapat yang rajih(kuat). Mereka diarah oleh Hajjaj bin Yusof gabenor di Iraq di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan. Mereka ini merupakan pakar dalam bahasa arab dan kesusasteraannya termasuklah ilmu Qiraat.
Mereka berdua mula melaksanakan perintah itu dengan member i titik pada huruf-huruf al-Quran bagi membezakan huruf-huruf tersebut di antara satu sama lain. Nuqtah-nuqtah ini ditulis dengan warna yang sama denan mushaf supaya berbeza dengan nuqtah yang dibuat oleh Abul Aswad Ad Duali.
2.
Nuqtah yang manakah lebih dahulu dicipta?
Kesimpulan yang boleh kita dapati daripada persoalan yang pertama tadi adalah nuqtah I’rab lebih dahulu dicipta daripada nuqtah I’jam kerana zaman Zaid terlebih dahulu daripada zaman Hajjaj.
* * * * *
Setelah itu lahirlah zaman Abbasiyah lahir Imam An-Nahri Khalil bin Ahmad Al-Basri. Beliau telah mengubahsuai nuqtah yang direka oleh Abul Aswad dan dijadikan seperti bentuk yang ada sekarang. Contoh seperti baris depan diberi tanda huruf wau dalam bentuk yang kecil, baris fathah dengan alif kecil yang dilintangkan dan yang lain-lain lagi. Di sinilah bermulanya perkembangan ilmu Dhabtul Quran atau lebih dikenali dengan syakl atau baris.
Nuqtah I’rab->Nuqtah I’jam->Dhabt

Rujukan:
Tarikh Mushaf oleh Abdul Fatah Al-Qadhi
Irsyad At-Talibin

No comments: