Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Saturday, August 04, 2007

Ilmu Dhabtul Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Sejarah Awal mengenai ilmu Dhabtul Quran

Secara umumnya ia adalah ilmu yang berkait rapat dengan rasmul Quran. Lebih tepat lagi ia adalah kesinambungan daripada rasmul Uthmani bagi memudahkan umat akhir zaman membaca al-Quran tanpa sebarang kekeliruan dan kesalahan.
Seperti mana yang kita maklum, al-Quran yang ditulis dan disalin dalam mashaf-mashaf pada zaman khalifah saidina Uthman adalah tidak mempunyai nuqat (titik), harakah (baris), 'alamat (tanda-tanda) yang menunjukkan bacaan panjang, tanda sukun (mati), syaddah (sabdu) atau huruf hamzah tidak seperti yang ada pada kita hari ini.
Bagi masyarakat arab persoalan-persoalan mengenai titik, baris dan sebagainya tidak pernah menjadi pertikaian dan tidak pernah berlaku kekeliruan dalam membaca al-Quran memandangkan Al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab. Oleh kerana itu mereka tidak berhajat kepada ilmu Dhabtul Quran. Namun, apabila semakin ramai yang memeluk agama Islam dari segala ceruk dan rantau, dengan mashaf pada masa itu yang hanya rasm semata-mata, ia amat sukar untuk membezakan kalimah-kalimah dan huruf-huruf al-Quran kerana keadaannya tidak bertitik dan berbaris.
Oleh yang demikian, timbul rasa kebimbangan di hati pemerintah Islam, keadaan itu akan menjejaskan sebutan-sebutan ayat Al-Quran dan melibatkan perubahan makna kalimah dari tempatnya yang sebenar. Mereka telah mengadakan beberapa usaha untuk menjamin kesucian Al-Quran iaitu dimulakan dengan meletakkan titik dan baris.
Contoh seperti huruf ba’, ta’ dan tha’ yang sama dari segi bentuk rasm (3 in 1) cuma dibezakan dengan bilangan titik. Ataupun dalam contoh yang lain seperti baris fathah, kasrah dan sebagainya. Bayangkan jika tidak ada keperihatinan dan usaha para ulama' terdahulu bagaimana agaknya kita dapat membaca Al-Quran? Masih samakah ayat-ayatNya seperti yang kita baca pada hari ini. Adakah terjamin kesuciannya tanpa sebarang perubahan jika hanya bersandarkan pada hafazan sahaja?
Sesungguhnya benarlah firman Allah yang dirakamkan dalam surah al-Hijr yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Az-Zikr (al-Quran) dan Kamilah yang akan memeliharanya"
Allah yang memelihara kalam-kalamNya dengan mengilhamkan usaha-usaha ini kepada para ulama' agar kesuciannya terus terpelihara hingga ke hari Qiamat.
Wallahu a'lam

Dari hafazan kepada lembaran
Di zaman Abu Bakr mula dikumpulkan
suhuf menjadi rujukan
dari Umar kepada Hafsah bertukar tangan
diambil oleh Saidina Uthman
dikemaskini menjadi mashaf dan salinan-salinan
dikirim ke kota-kota negara Islam
disambut penuh kemeriahan
mengandungi 7 huruf dibawah satu rasm
pelbagai kaum bersatu dengan Islam
zaman bertukar zaman
Islam semakin mendapat sambutan
bercampurlah lidah Arab dan lidah A'jam
sukar membezakan kalimah Al-Quran
para pemerintah bimbang bukan kepalang
difikir cara, diperah tenaga menjamin kesucian Al-Quran
terciptalah nuqtah dan baris bagi menghilangkan keraguan
mengenali huruf2 Al-Quran


*pengenalan yang lebih terperinci akan menyusul kemudian insyaAllah
rujukan:
Irsyaduttalibin Ila Dhabtil Kitabil Mubin

No comments: