Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Monday, June 18, 2007

Maksud 7 HURUF

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Setelah kita mengetahui Al-Quran diturunkan dengan 7 huruf dalam catatan yang lepas, atau dalam lafaz yang masyhur dinamakan dengan QIRAAT, kali ini kita akan lihat apakah yang sebenarnya maksud yang tersembunyi disebalik 7huruf itu? Adakah 7 imam qiraat atau huruf hijaiyyah sepertimana yang difahami umum? Benarkah kenyataan mereka ini?

Para pengunjung yang dirahmati Allah sekalian,


Huruf dalam hadis yang lepas bukanlah bermaksud huruf hijaiyyah sepertimana yang biasa kita sebut dan lafazkan, bukan juga imam-imam qiraat yang tujuh kerana QIRAAT ini telah muncul pada zaman Rasulullah saw sejak ia diturunkan sedangkan imam-imam tersebut muncul selepas zaman para sahabat iaitu setelah sempurna al-Quran diturunkan. Apa Yang Dikehendaki Dengan Tujuh Huruf Di sini mengikut pengertian yang diberi oleh para ulama’ terlalu banyak di antara yang termasyhur ialah:

  • Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dengan memberi satu makna.
  • Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dan keseluruhan wajah bagi kalimah-kalimah tidak terkeluar daripada 7 bahasa.
  • Suruhan, tegahan, janji baik, janji buruk, perbantahan, kisah-kisah dan perumpamaan. Atau suruhan, tegahan, halal, haram, muhkam, mutashabih, dan perumpamaan.

Ibnu Jazari pula berpendapat 7 huruf itu bermaksud:
1)Kepelbagaian pada baris tanpa melibatkan perubahan pada makna dan bentuk tulisan. seperti contoh:{يحسب } dengan fathah dan kasrah huruf sin

2)Kepelbagaian pada baris melibatkan perubahan pada makna sahaja seperti contoh:{فتلقى ءادم من ربه كلمت } dengan rafa' pada ءادم dan nasab pada كلمت atau dengan sebaliknya.

3)Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada makna tidak pada bentuk tulisan.
{تتلوا , تبلوا }.


4)Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada bentuk tulisan tidak pada makna.
{الصراط , السراط }.


5)Kepelbagaian pada huruf dan bentuk tulisan { يأتل , يتال }.


6)Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan { وقاتلوا وقتلوا }


7)Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan { ووصى , و أوصى }


Pendapat Imam Fakhruddin Ar Razi.
1)Kepelbagaian pada kata nama sama ada dengan tunggal atau banyak seperti
{ والذى لأمانتهم و عهدهم راعون }


2)Kepelbagaian pada wajah-wajah I'rab seperti
{ فتلقى ءادم من ربه كلمت}


3)Kepelbagaian pada tasrif seperti
{فقالوا ربنا باعد بين أسفارنا }


4)Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan seperti {أفلم ييأس, فيقتلون ويقتلون }


5)Kepelbagaian dengan menukarkan. Sama ada huruf dengan huruf atau kalimah dengan kalimah seperti {وانظر إلى العظام كيف ننشزها }

6)Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan seperti {وأعد لهم جنت تجرى تحتها الأنهر }


7)Kepelbagaian lahjah dengan tafkhim dan tarqiq, fathah dan imalah, izhar dan idgham, tashil, ishmam dan sebagainya.



Mungkin timbul di fikiran sahabat-sahabat bagaimana boleh berlaku khilaf dalam menghuraikan maksud 7 huruf ini sedangkan ia adalah wahyu dari Allah swt?

Sebenarnya pada zaman Rasulullah saw tidak pernah berlaku perselisihan atau pertikaian dalam menetapkan maksud 7 huruf ini kerana para sahabat tidak pernah bertanya kepada baginda junjungan. Sebab apa? Sebab....para sahabat tidak akan bertanya dalam perkara yang mereka telah sedia maklum. Tambahan pula pada zaman tersebut masyarakat arab terkenal dengan gaya bahasa dan balaghah yang cukup tinggi dan indah. Maka dengan sebab itu Al-Quran diturunkan dengan bahasa arab yang keindahan bahasanya mengatasi segala yang mereka karangkan dalam syair-syair.


Zaman pun terus berlalu...bahasa arab semakin kurang penggunaannya, semakin kurang kefahamannya dengan kemasukkan orang-orang bukan arab dalam agama Islam. Maka, disinilah bermulanya perbahasan dan perselisihan dalam menentukan maksud yang terkandung dalam 7huruf seperti yang disabdakan Rasulullah saw. Walaubagaimana banyak pun pendapat para ulama’ namun perselisihan tersebut tidak sama sekali bertentangan seperti halal dan haram, hanya berkisar sekitar ilmu qiraat dengan dalil-dalil dan nas yang kukuh.

Wallahu a’lam

No comments: