Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Saturday, January 13, 2007

KELEBIHAN SURAH-SURAH DAN AYAT-AYAT TERTENTU:

1. Dari Abi Said Rafi' Bin Al Mu'alla r.a berkata:
Sabda Rasulullah S.A.W kepadaku: Mahukah aku ajarkan kepadamu surah yang terbesar di dalam Al Quran sebelum kamu keluar dari masjid? Lalu baginda memegang tanganku, apabila kami hendak keluar aku bertanya:" Ya Rasulullah, engkau berkata hendak mengajarkan aku surah yang terbesar di dalam Al Quran".
Baginda menjawab: "Al Hamdulillaahi Rabbil Aalamin" Ia adalah tujuh ayat yang diulang-ulang dan juga Al Quran yang diutuskan kepadaku ".
Diriwayatkan oleh Bukhari.

2. Dari Ibnu 'Abbas r.a berkata:
Ketika mana Jibril sedang duduk di sisi Nabi S.A.W baginda mendengar suara (seakan-akan bunyi pintu yang sedang dibuka) dari atas, lalu baginda mendongak kepalanya dan bersabda: "Ini adalah pintu langit yang dibuka pada hari ini dan ia tidak akan dibuka melainkan pada hari ini sahaja. Lalu turun melaluinya malaikat maka sabda Rasulullah S.A.W: Malaikat ini turun ke bumi dan dia tidak turun melainkan pada hari ini sahaja lalu dia memberi salam seraya berkata: Aku memberi berita gembira dengan dua cahaya yang diturunkan kepada engkau dan tidak diberi kepada nabi sebelummu iaitu Surah Al Faatihah dan ayat-ayat terakhir Surah Al Baqarah, kamu tidak akan membaca satu huruf darinya melainkan kamu dikurniakannya.
Diriwayatkan oleh Muslim.

3. Dari Abi Huzaifah r.a sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda: Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah Al Baqarah.
Diriwayatkan oleh Muslim.

4. Dari Abi Ka'ab r.a berkata: Sabda Rasulullah S.A.W: Hai Abu Al Munzir, adakah engkau tahu ayat manakah yang terlebih besar di dalam Kitab Allah. Aku menjawab ( Allahu Laa Ilaha Illaa Huwal Hayyul Qayyum ). Lalu baginda menepuk dadaku dan bersabda: Allah akan mempermudahkan ilmu kepada engkau wahai Abu Al Munzir.
Diriwayatkan oleh Muslim.

5. Dari Abi Mas'ud Al Badri r.a dari Nabi S.A.W sabdanya: Sesiapa yang membaca dua ayat akhir Surah Al Baqarah pada waktu malam nescaya cukuplah baginya.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

6. Dari Abi Umamah Al Bahili berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Bacalah Al Quran kerana di akhirat kelak ia adalah pemberi syafaat kepada tuannya, bacalah dua kesucian iaitu Surah Al Baqarah dan Surah A-li 'Imraan kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seperti dua awan atau pun dua kumpulan burung yang berbaris, kedua-duanya membela tuannya.
Bacalah Surah Al Baqarah kerana membacanya memperolehi barakat dan meninggalkannya membawa penyesalan dan ia terpelihara dari perbuatan ahli sihir.

7. Dari Abi Darda r.a, Sabda Rasulullah S.A.W: Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat di permulaan Surah Al Kahfi, terselamat dari dajal dalam riwayat yang lain di akhir Surah Al Kahfi.
Diriwayatkan oleh Muslim.

8. Dari Abi Said Al Khudri r.a berkata: Sabda Rasulullah S.A.W: Sesiapa yang membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat dia akan diterangi dengan cahaya di antara dua Jumaat.
Diriwayatkan oleh Al Hakim dan Al Baihaqi.
Hadis di atas adalah sahih.

9. Dari Ibnu Mas'ud r.a. berkata: Sabda Rasulullah S.A.W: Surah Tabaraka adalah penahan dari azab kubur Diriwayatkan oleh Al Hakim dan Abu Naim. Hadis di atas adalah sahih.

10. Dari Ibnu Umar r.a berkata: Sabda Rasulullah S.A.W: Sesiapa yang ingin melihat sehingga hari akhirat dengan sebenar-benar penglihatan maka bacalah ayat (Iza Ssyamsu Kuwwirat), (Iza Ssamaa-un Fatorot) dan (Iza Ssamaa-un Syaqqat).
Diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan Al Hakim.

11. Dari Abi Said Al Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda pada (Qul Huwallaahu Ahad): Demi Allah yang diriku di dalam genggamannya, sesungguhnya ia menyamai satu pertiga Al Quran. Di dalam riwayat lain Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabat: Adakah kamu lemah untuk membaca satu pertiga Al Quran pada satu malam. Perkara ini menjadi berat lalu mereka bertanya: Siapakah yang mampu wahai Rasulullah? Baginda pun bersabda: (Qul Huwallaahu Ahad, Allaahu Ssomad) satu pertiga Al Quran.
Diriwayatkan oleh Bukhari.

12. Dari Mu'az Bin Anas r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang membaca (Qul Quwallaahu Ahad) sepuluh kali, Allah membina untuknya rumah di syurga.
Diriwayatkan oleh Ahmad.

13. Dari 'Uqbah Bin 'Amir r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: Adakah engkau melihat ayat-ayat yang diturunkan pada malam ini dan tidak dilihat sepertinya sebelum ini? (Qul A'uuzubirabbil Falaq) dan (Qul A'uuzubirabbinnas).
Diriwayatkan oleh Muslim.

14. Dari 'Aisyah r.a, Rasulullah S.A.W apabila duduk di atas katilnya pada tiap-tiap malam menadah dua tangannya kemudian meniup padanya seraya membaca: (Qul Huwallaahu Ahad), (Qul A'uuzubirabbil Falaq) dan (Qul A'uuzubirabbinnas) Kemudian baginda menyapu kedua-duanya ke seluruh tubuhnya setakat mampu, baginda memulainya dengan kepala kemudian muka dan seterusnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

15. Abdullah bin Yusof menceritakan kepada kami, Malik memberitahu kepada kami, dari Ibnu Syihabuddin dari 'Urwah dari 'Aisyah r.a: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W apabila mengadu kesakitan membaca sendiri Al Mu'awwizat iaitu (Qul Huwallaahu Ahad), (Qul A'uuzubirabbil Falaq) dan (Qul A'uuzubirabbinnas) dan menghembus apabila kesakitannya bertambah aku membaca kepadanya dan aku menyapu dengan tangannya mengharapkan keberkatan baginda.
Diriwayatkan oleh Bukhari.

1 comment:

Ummuafiq Hashim said...

Perkongsian yang sangat bermanfaat. Minta izin share di blog saya...tq