Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Wednesday, May 30, 2007

AL-QURAN DITURUNKAN DENGAN 7 HURUF

Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Dari Jibril inilah beliau menerima bacaan Al-Quran dengan 7 huruf seterusnya Rasulullah mengajarkan kepada para sahabat sama seperti yang diajarkan Jibril kepada beliau. Dalam hal ini Rasulullah telah bersabda:
"Malaikat Jibril membacakan Al-quran kepadaku dengan satu huruf kemudian aku mengulang-ulanginya. Aku juga sentiasa meminta kepada Jibril agar menambahnya lagi sehingga akhirnya ia menambahkannya sampai menjadi 7 huruf."
Hikmah Allah menurunkan Al-Quran dengan 7 huruf adalah untuk memudahkan umat Islam dalam membacanya, sebagaimana yang disabdakan oleh baginda junjungan:
"Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan 7 huruf, maka bacalah ia dengan bacaan yang mudah daripadanya"
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis riwayat Muslim juga yang diterima daripada Ubay, beliau bersabda yang ertinya:
"Wahai Ubay! Aku diperintahkan agar membacakan Al-Quran dengan satu huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril agar diberi kemudahan bagi umatku dan dia menjawab agar aku membacanya dengan 2 huruf. Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi lagi keringanan untuk umatku. Maka dia menjawab untuk ketiga kalinya: Bacalah Al-Quran itu dengan 7 huruf."
Ini bermakna bacaan Al-Qran dengan 7 huruf itu bukanlah rekaan Nabi Muhammad s.a.w sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak tetapi ia adalah dari Allah s.w.t. yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Mutiara Sufi: Kebahagiaan Jiwa

Renungi firman Allah swt yang bermaksud:
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari qiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada di dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada sseorang pun yang tepat mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau buruk); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi, negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Amat Meliputi PengetahuanNya. -Luqman: 34-
Sidang Pembaca yang dirahmati Allah,
Manusia terkadang lupa daripada mengingati Allah sehingga membuatnya menjadi lengah dan tenggelam dalam permasalahan hidup seolah-olah dia telah ditelan oleh gelombang kehidupan, tidak dapat mencari jalan keluar daripadanya dan hidup dalam kesedihan kerana sesungguhnya dia telah melupakan Tuhannya sehingga Tuhan pun melupakannya, firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, sehingga Allah pun melupakan mereka."
Manusia yang lupa mengingati Allah akan hidup dalam kebimbangan mengenai perkara-perkara yang ghaib dan sibuk dengan dirinya sendiri. Allah swt telah pun mententeramkan hatinya dan memberikan jalan keluar daripada permasalahan hidupnya agar hatinya tenang dan dapat beribadah dengan selesa kepada Allah.


Allahumma a'inna 'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatika.