Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Sunday, July 16, 2006

ADAB MEMBACA AL QURAN

1. Membersihkan mulut dengan bersugi sebelum membaca Al Quran.
2. Membaca Al Quran di tempat yang bersih samada di masjid atau sebagainya.
3. Mengadap Kiblat ketika membaca Al Quran.
4. Memohon perlindungan dengan Allah daripada Syaitan sebelum membaca Al Quran.

Firman Allah Ta'ala :
Apabila engkau membaca Al Quran maka pohonlah perlindungan Allah daripada Syaitan yang direjam.( Surah An Nahl – ayat 98 )

5. Membaca Bismillah pada permulaan surah kecuali Surah At Taubah.

6. Khusyu' dan tadabbur ketika membaca Al Quran.
Firman Allah Ta'ala :
Mengapakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataupun hati mereka terkunci.( Surah Muhammad - ayat 24 )

Firman Allah Ta'ala :
Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya.( Surah Saad - ayat 29 )


7. Membaca Al Quran secara baik, melagukannya serta memperelokkan suara.
Firman Allah Ta'ala :
Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.( Surah Al Muzammil - ayat 4 )

Daripada Abu Hurairah r.a. telah bersabda Rasulullah S.A.W bermaksud : Bukan dari golonganku orang-orang yang tidak memperelokkan suaranya ketika membaca Al Quran.( Riwayat Bukhari )Daripada Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah menggalakkan kepada hambanya sebagaimana Allah memerintahkan Rasulullah S.A.W. supaya memperelok dan mengangkat suara ketika membaca Al Quran.( Riwayat Bukhari & Muslim )

8. Tenang dan tidak gopoh ketika membaca Al Quran. daripada Abi Wail daripada Abdullah berkata : Pada waktu pagi kami pergi kepada Abdullah, dia berkata : Seorang lelaki berkata, dia membaca Al Quran satu perempat daripada Al Quran kelmarin, dia berkata : Ia membaca Al Quran terlalu cepat tanpa memelihara Tajwid seumpama membaca syair, sesungguhnya kami telah mendengar bacaan tersebut, dan sesungguhnya aku mengetahui beberapa surah bersampingan yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W. iaitu : Lapan belas surah daripada satu perempat Al Quran dan dua surah yang bermula dengan kalimah " Haa Miim ".( Riwayat Bukhari )

9. Membaca Al Quran dengan lanjut. Daripada Qatadah r.a. berkata : Aku bertanya Anas Bin Malik r.a. tentang bacaan Rasulullah S.A.W. dan beliau menjawab : Baginda membaca selanjut-lanjutnya. Di dalam riwayat lain : Anas membaca " Bismillahirrahmanirrahim " dia melanjutkan " Bismillah", dia melanjutkan " Arrahman " dan dia melanjutkan " Arrahim ".Daripada Ummu Salamah r.a. : Beliau menyifatkan bacaan Rasulullah S.A.W. seumpama bacaan tafsir satu huruf, satu huruf. Riwayat Abu Daud, Tarmizi, Nasai'e. Tarmizi berkata : ( Hadis ini hasan sahih ).

10. Berhenti untuk berdoa ketika membaca ayat rahmat dan ayat azab. Daripada Huzaifah r.a. ia berkata ; Aku bersembahyang bersama Nabi Muhammad S.A.W. pada satu malam, baginda membaca Surah Al Baqarah kemudian An Nisaa' kemudian A-li 'Imraan. Baginda membaca secara terhenti-henti apabila sampai ayat tasbih maka baginda bertasbih dan apabila baginda membaca ayat tentang permohonan maka baginda memohon dan apabila membaca ayat mohon perlindungan maka baginda mohon berlindung dengan Allah S.W.T. ( Riwayat Muslim )

11. Menangis, sedih dan terkesan ketika membaca Al Quran.
Allah berfirman :
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul ( Muhammad ), kamu lihat mata mereka bercucuran dengan air mata disebabkan kebenaran ( Al Quran ) yang telah mereka ketahui ( dari kitab-kitab mereka sendiri ) ; seraya berkata : " Ya tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi ( atas kebenaran Al Quran dan kenabian Nabi Muhammad S.A.W. ) ( Surah Al Maaidah - ayat 83 )
Allah Ta'ala berfirman :

Katakanlah " Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman ( sama saja bagi Allah ). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelum Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata : " Maha suci tuhan kami ; sesungguhnya janji tuhan kami pasti penuh ". Dan mereka menyungkur muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu'.( Surah Al Israa' - ayat 107, 108 & 109 )

12. Sujud Tilawah. Disahkan daripada Omar r.a. bahawa ia membaca di atas mimbar pada hari Jumaat Surah An Nahl sehingga sampai ayat sujud maka beliau turun dan sujud, orang ramai turut sujud bersama beliau. Sehingga apabila tiba hari Jumaat ia membaca surah tersebut dan apabila sampai kepada ayat sujud ia berkata : Wahai manusia sekelian, sesungguhnya kita melalui ayat sujud maka barangsiapa sujud ia beroleh pahala, dan barangsiapa yang tidak sujud tiada dosa baginya dan Omar r.a tidak sujud pada ketika itu.( Riwayat Bukhari )

13. Bersederhana antara membaca dengan suara kuat dan perlahan firman Allah Ta'ala :
Dan janganlah kamu menguatkan suaramu dalam solat dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah antara keduanya.( Surah Al Israa' - ayat 110 ) Daripada 'Uqbah Bin Amir r.a. berakata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Orang yang membaca Al Quran secara perlahan-lahan seperti bersedekah secara sembunyi.( Riawayat Abu Daud dan Tarmizi dan An Nisai'e )( Tarmizi berkata : Hadis ini hasan )


14. Menjauhkan daripada ketawa, berborak-borak dan bercakap-cakap ketika membaca
Al Quran firman Allah Ta'ala :

Dan apabila dibacakan Al Quran maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.( Surah Al A'raaf - ayat 204 )

15. Apabila membaca Al Quran mengikut bacaan tertentu ( Qiraat ) maka perlu berterusan dengan mengikut bacaan tersebut tanpa mengubah kepada bacaan yang lain kerana ia merupakan salah satu adab daripada adab-adab bacaan Al Quran.

16. Memperbanyakkan bacaan Al Quran dan mengkhatamkannya. Daripada Abdullah Bin 'Amru beliau menceritakan : Rasulullah S.A.W. bersabda : Bacalah Al Quran dalam masa sebulan. Aku menjawab : Aku masih mampu. Rasulullah S.A.W. bersabda lagi : Bacalah ia dalam masa sepuluh hari. Aku menjawab: Sesungguhnya aku masih lagi mampu. Rasulullah S.A.W. bersabda lagi : Bacalah ia dalam masa tujuh hari dan jangan lebih dari itu.( Riwayat Bukhari dan Muslim )

No comments: