Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Tuesday, August 14, 2007

Penulisan Terkini Rasm Al-Quran

Rasm Al-Quran terkini dengan Dhabtul Quran

Penulisan Awal Rasm al-Quran


Rasm di awal penulisannya tanpa titik dan baris

Pengenalan Ilmu Dhabtul Quran

Ta’rif dan pengertian
Makna asal dalam bahasa ‘arab
sampai matlamat dalam memelihara sesuatu perkara
Istilah ilmu dhabt
suatu ilmu yang member i tanda kepada huruf-huruf Al-Quran dari segi harakah(baris), sukun(tanda mati), syaddah(sabdu), mad(panjang) dan lain-lain lagi.
Tajuk yang dibincangkan
Tanda-tanda yang menunjukkan atas apa yang dipamerkan oleh huruf dari segi meletakkan baris atau meninggalkannya, keudukan dan warnanya dan lainlain lagi.
Faedah
Menghilangkan keraguan dan kesamaran pada huruf-huruf al-Quran supaya tidak bertukar huruf yang bersabdu atau tidak, yang mana mati dan berbaris
Alamat atau tanda-tanda yang terlibat dengan dhabt pada huruf-huruf al-Quran dari segi bentuk, warna dan tempat meletakkannya ialah:
  • Harakah
  • Sukun
  • Syaddah
  • Mad
  • Hamzah
Perbezaan ilmu Rasm dan ilm Dhabt
Ilmu rasm:
  • dicipta untuk memberi perhatian pada permulaan dan waqf(berhenti) kalimah al-Quran.
  • Contoh: kalimah Muhammadun ditulis dengan hruf mim, ha’, mim & dal. Dibuang huruf nun yang bertanwin
  • Berhubungkait dengan huruf pada kalimah-kalimah Al-Quran dari segi isbat dan hazaf (ada dan buang)
Ilmu dhabt:
  • Dicipta untuk memelihara bacaan ketika wasal(bersambung)
  • Contoh: Huruf nun yang mati dibiarkan tanpa tanda mati bagi menunjukkan berlaku hukum idgham pada nun tersebut apabila dibaca secara wasal.
  • Berhubungkait dengan semua yang dipamerkan oleh huruf-hruf al-Quran dari segi baris, mati, syaddah dan sebagainya

Muqaddimah

Pendahuluan lmu Dhabtul Quran
Sepertimana yang telah disebutkan dalam artikel yang lepas sejarah awal dhabtul Quran adalah dimulakan dengan meletakkan titik dan baris. Pada kali ini ana akan menceritakan bagaimana permulaannya dan seterusnya berkembang dan dihalusi lagi sehingga yang dapat kita lihat dan baca pada mushaf yang terkini pada hari ini insyaAllah.
Titik dan Baris
Titik ataupun nuqtah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
1. Nuqtah I’rab ialah suatu tanda yang menunjukkan harakah(baris), sukun(mati), syadd(sabdu), mad(panjang) atau sebagainya
2. Nuqtah I’jam pula ialah suatu tanda yang menunjukkan zat-zat huruf bagi membezakan mu’jam dan muhmal seperti titik pada huruf ba’ disebelah baah, ta’ dua titik sebelah atas dan tha’ tiga titik di sebelah atas dan begitulah seterusnya.
Baris atau syakl ialah suatu tanda yang memberi harakah kepada huruf-huruf al-Quran atau sukun, syaddah, mad dan sebagainya. Inilah yang disebut dengan DHABT merupakan isi perbincangan yang utama dalam ilmu ini.
Perselisihan ulama’
1.
Siapakah yang mula mencipta nuqtah-nuqtah tersebut?
Para ulama’ lebih condong mengatakan orang pertama yang mencipta nuqtah I’rab ialah Abul Aswad Ad-Duali atas arahan Zaid yang menjadi gabenor di Basrah pada masa itu di bawah tampuk pimpinan Khalifah Muawiyyah bin Abu Sufyan.
Beliau mulakan dengan mengi’rab al-Quran dan memerintahkan supaya harakah yang disebutkan diletakkan nuqtah dengan warna yang berlainan dengan tulisan mushaf. Dipetik arahannya seperti berikut:
“Apabila aku membuka kedua bibirku letakkan satu titik di atas huruf itu, bila aku muncungkan kedua bibirku letakkan satu titik di selah hadapannya, dan bila aku kebawahkan bibirku letakkan satu titik di sebelah bawahnya. Bila aku turutkan harakah itu dengan dengung (tanwin), kamu letakkan dua titik pada huruf tersebut”
Daripada usaha Abul Aswad ini timbul pelbagai rekaan baru yang dicipta oleh para ulama’ mutaakhirin dengan perubahan yang sesuai mengikut peredaran zaman.
Nuqtah I’jam pula dicipta oleh Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ma’mar mengikut pendapat yang rajih(kuat). Mereka diarah oleh Hajjaj bin Yusof gabenor di Iraq di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan. Mereka ini merupakan pakar dalam bahasa arab dan kesusasteraannya termasuklah ilmu Qiraat.
Mereka berdua mula melaksanakan perintah itu dengan member i titik pada huruf-huruf al-Quran bagi membezakan huruf-huruf tersebut di antara satu sama lain. Nuqtah-nuqtah ini ditulis dengan warna yang sama denan mushaf supaya berbeza dengan nuqtah yang dibuat oleh Abul Aswad Ad Duali.
2.
Nuqtah yang manakah lebih dahulu dicipta?
Kesimpulan yang boleh kita dapati daripada persoalan yang pertama tadi adalah nuqtah I’rab lebih dahulu dicipta daripada nuqtah I’jam kerana zaman Zaid terlebih dahulu daripada zaman Hajjaj.
* * * * *
Setelah itu lahirlah zaman Abbasiyah lahir Imam An-Nahri Khalil bin Ahmad Al-Basri. Beliau telah mengubahsuai nuqtah yang direka oleh Abul Aswad dan dijadikan seperti bentuk yang ada sekarang. Contoh seperti baris depan diberi tanda huruf wau dalam bentuk yang kecil, baris fathah dengan alif kecil yang dilintangkan dan yang lain-lain lagi. Di sinilah bermulanya perkembangan ilmu Dhabtul Quran atau lebih dikenali dengan syakl atau baris.
Nuqtah I’rab->Nuqtah I’jam->Dhabt

Rujukan:
Tarikh Mushaf oleh Abdul Fatah Al-Qadhi
Irsyad At-Talibin

Saturday, August 04, 2007

Ilmu Dhabtul Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Sejarah Awal mengenai ilmu Dhabtul Quran

Secara umumnya ia adalah ilmu yang berkait rapat dengan rasmul Quran. Lebih tepat lagi ia adalah kesinambungan daripada rasmul Uthmani bagi memudahkan umat akhir zaman membaca al-Quran tanpa sebarang kekeliruan dan kesalahan.
Seperti mana yang kita maklum, al-Quran yang ditulis dan disalin dalam mashaf-mashaf pada zaman khalifah saidina Uthman adalah tidak mempunyai nuqat (titik), harakah (baris), 'alamat (tanda-tanda) yang menunjukkan bacaan panjang, tanda sukun (mati), syaddah (sabdu) atau huruf hamzah tidak seperti yang ada pada kita hari ini.
Bagi masyarakat arab persoalan-persoalan mengenai titik, baris dan sebagainya tidak pernah menjadi pertikaian dan tidak pernah berlaku kekeliruan dalam membaca al-Quran memandangkan Al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab. Oleh kerana itu mereka tidak berhajat kepada ilmu Dhabtul Quran. Namun, apabila semakin ramai yang memeluk agama Islam dari segala ceruk dan rantau, dengan mashaf pada masa itu yang hanya rasm semata-mata, ia amat sukar untuk membezakan kalimah-kalimah dan huruf-huruf al-Quran kerana keadaannya tidak bertitik dan berbaris.
Oleh yang demikian, timbul rasa kebimbangan di hati pemerintah Islam, keadaan itu akan menjejaskan sebutan-sebutan ayat Al-Quran dan melibatkan perubahan makna kalimah dari tempatnya yang sebenar. Mereka telah mengadakan beberapa usaha untuk menjamin kesucian Al-Quran iaitu dimulakan dengan meletakkan titik dan baris.
Contoh seperti huruf ba’, ta’ dan tha’ yang sama dari segi bentuk rasm (3 in 1) cuma dibezakan dengan bilangan titik. Ataupun dalam contoh yang lain seperti baris fathah, kasrah dan sebagainya. Bayangkan jika tidak ada keperihatinan dan usaha para ulama' terdahulu bagaimana agaknya kita dapat membaca Al-Quran? Masih samakah ayat-ayatNya seperti yang kita baca pada hari ini. Adakah terjamin kesuciannya tanpa sebarang perubahan jika hanya bersandarkan pada hafazan sahaja?
Sesungguhnya benarlah firman Allah yang dirakamkan dalam surah al-Hijr yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Az-Zikr (al-Quran) dan Kamilah yang akan memeliharanya"
Allah yang memelihara kalam-kalamNya dengan mengilhamkan usaha-usaha ini kepada para ulama' agar kesuciannya terus terpelihara hingga ke hari Qiamat.
Wallahu a'lam

Dari hafazan kepada lembaran
Di zaman Abu Bakr mula dikumpulkan
suhuf menjadi rujukan
dari Umar kepada Hafsah bertukar tangan
diambil oleh Saidina Uthman
dikemaskini menjadi mashaf dan salinan-salinan
dikirim ke kota-kota negara Islam
disambut penuh kemeriahan
mengandungi 7 huruf dibawah satu rasm
pelbagai kaum bersatu dengan Islam
zaman bertukar zaman
Islam semakin mendapat sambutan
bercampurlah lidah Arab dan lidah A'jam
sukar membezakan kalimah Al-Quran
para pemerintah bimbang bukan kepalang
difikir cara, diperah tenaga menjamin kesucian Al-Quran
terciptalah nuqtah dan baris bagi menghilangkan keraguan
mengenali huruf2 Al-Quran


*pengenalan yang lebih terperinci akan menyusul kemudian insyaAllah
rujukan:
Irsyaduttalibin Ila Dhabtil Kitabil Mubin

Thursday, August 02, 2007

Wasiat Imam Hathim Al Asam

Sesungguhnya aku melihat sekalian makhluk ini sentiasa mengikuti kehendak nafsu mereka dan bersegera menunaikan apa jua kehendaknya.

Lalu aku memikirkan firman Allah Taala yang maksudnya:
"Dan adapun orang yang takut akan berdiri di hadapan Tuhannya dan menahan nafsu daripada keinginan-keinginannya maka orang itu dijadikan baginya syurga sebagai tempat tinggalnya".

Daripada pemikiranku terhadap ayat ini maka timbul satu keyakinan di dalam hatiku bahawa Al-Quran itu adalah benar, dan nafsu itu mesti dimusuhi, lalu aku pun menjadikannya musuh, dan berjuang untuk menentangnya. Dan aku tidak pernah memanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan merasa puas hati dengan tugasnya untuk taat dan beribadat kepada Allah Taala.