Ahlan Wasahlan

أهلا وسهلا ومرحبا بكم
محمد فضلي بن إبراهيم المربوقي

Saturday, July 28, 2007

Al-Quran Anugerah ALLAH Yang Terbesar


Renungi Firman Allah yang bermaksud:


Wahai umat manusia!Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa-apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara (yang tidak kekal)."

[Yunus: 57-58]

Monday, July 16, 2007

Alhamdulillah




Ucaplah Alhamdulillah
Tanda kesyukuran kepada Allah.
Setiap ketika kita tidak terlepas daripada menggunakan nikmatNya
Nikmat iman dan Islam
Nikmat kesihatan dan anggota yang sempurna
Nikmat keamanan dan kesejahteraan
Nikmat kebahagiaan dan kesenangan
Dan…banyak lagi
Oleh itu…
Bersyukurlah
Dengan lisan ucaplah Alhamdulillah
Dengan anggota buatlah amal yang soleh
Kerana…
Nikmat takkan kekal selamanya
Hargai dan gunakanlah ke jalan yang diredhai Allah
Ingatlah…
Siapa yang bersyukur
Pasti Allah tambahkan nikmatNya
Siapa yang kufur…
Azab Allah pasti menimpa.

Renungilah…

Firman Allah yang bermaksud:

"Kalau kamu ingkar kepada Tuhan, sesungguhnya Allah itu tiada mempunyai keperluan kepadamu. Tuhan tidak menyukai sifat tidak berterima kasih dari hamba2Nya. Dan kalau kamu tahu berterima kasih, Tuhan akan suka kepadamu. Seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa oranglain, kemudian tempat kembali kamu kepada Tuhan lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu lakukan. Sesungguhya Tuhan itu Maha Mengetahui segala isi hati"

-Az-Zumar : 7-

Bekerja Berjuang Ke Jalan Allah


Kerja yang halal, walaupun sedikit ganjarannya, lebih diberkati berbanding kerja yang tidak halal dan beroleh ganjaran yang banyak. Apatah lagi jika kerja itu dilaksanakan dengan hati yang ikhlas demi menyara diri sendiri, kaum keluarga dan menyumbang kepada umat Islam secara keseluruhan.


Pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w duduk-duduk bersama para sahabat. Sahabat terpandang seorang lelaki gagah perkasa keluar dari rumah untuk bekerja. Sememangnya para sahabat selalu melihat lelaki itu setip pagi untuk bertugas. Sahabat mengeluh, “Alangkah baiknya jika lelaki gagah perkasa begitu keluar untuk berjihad ke jalan Allah…”

Rasulullah terus mencelah dengan bersabda,


“ Jangan kamu berkata begitu. Ini kerana jika dia keluar mencari rezeki untuk anaknya yang masih kecil, maka dia telah berjuang ke jalan Allah. Jika dia keluar bekerja untuk menyara orangtuanya yang uzur, bermakna dia juga termasuk dalam golongan yang berjuang ke jalan Allah. Begitu juga kalau dia bekerja untuk menyara diri sendiri, dia juga tersenarai dalam orang yang berjuang ke jalan Allah. Sebaliknya jika dia keluar berusaha kerana riak dan hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain, dia ibarat berjuang ke jalan syaitan.”



-Riwayat Tabrani-

Saturday, July 07, 2007

Perkembangan Ilmu Qiraat

Sepertimana yang kita sedia maklum setiap kali wahyu al-Quran diturunkan pasti dengan segera Rasulullah s.a.w menyampaikan dan mengajarkan kepada para sahabat tercinta. Walaupun begitu tidak semua yang dapat menguasai 7 huruf tersebut. Ada yang menerima satu huruf, sementara yang lain dengan huruf yang lain dan ada juga di antara mereka yang diajar dengan huruf yang banyak seperti Abdullah bin Mas’ud mengikut budi bicara Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana matlamat atau tujuan sebenar permintaan baginda kepada Allah Ta’ala untuk memudahkan ummat dalam membaca dan memahami kitabullah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran untuk peringatan, mengapa kamu tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya?"
Sebaik sahaja al-Quran sampai kepada para sahabat, mereka segera membaca dan mengulang ayat-ayat tersebut sehingga benar-benar lekat dalam ingatan diiringi dengan suruhan yang telah diperintahkan tanpa berlengah lagi dan menungu-nungu wahyu yang seterusnya.
Di sebabkan para sahabat tidak menerima semua qiraat daripada baginda maka pernah terjadi perselisihan dikalangan mereka yang mana masing-masing mendakwa bacaan mereka adalah bacaan Rasulullah s.a.w sepertimana kisah yang pernah dialami oleh saidina Umar dengan Hisyam bin Hakim di dalam solat.
Kisahnya begini seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, pada suatu hari Hisyam telah mengimami solat yang turut ada di dalamnya saidina Umar dengan membaca surah al-Furqan dengan bacaan yang pelbagai. Tatkala Umar mendengar bacaan tersebut beliau hampir sahaja menarik Hisyam keluar dari solat kerana tidak pernah mendengar Rasullah membaca dengan bacaan yang dibaca oleh Hisyam tadi. Bilamana Umar menanyakan dari siapa Hiyam mendapatkan bacaan tadi sudah tentu ia dari Rasulullah! Disebabkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan dengan penyelewangan ayat suci maka berjumpalah mereka menghadap baginda s.a.w untuk menuntut kepastian dan Rasulullah telah membenarkan bacaan Umar dan Hisyam.
Begitulah sifat sahabat yang amat teliti dan sensitif dengan apa yang dibawa oleh baginda bukan kerana kepentingan diri tapi dalam memelihara kitab suci dan agama Allah.
Sehinggalah pada zaman saidina Abu Bakr al-Quran masih lagi dihafaz dan terpelihara kukuh di dada para sahabat. Namun apabila berlaku peperangan Riddah yang memerangi golongan murtad maka ramailah para sabahat yang yang gugur syahid. Kebimbangan melanda umat Islam bilamana syuhada’ adalah majoriti penghafaz al-Quran! Lalu saidina Umar mencadangkan kepada Abu Bakr supaya al-Quran disalin dan dikumpulkan. Walaupun berat untuk dilaksanakan kerana tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah s.a.w, dengan petunjuk dan hidayah Allah dan komitmen para sahabat kerana bimbang al-Quran akan lenyap, maka Ia pun terlaksana.
Setelah wafat Abu Bakr, tampuk pemerintahan dipegang oleh Saidina Umar dan al-Quran yang telah dibukukan tersebut diserahkan kepada beliau untuk memeliharanya sebagai rujukan dan panduan umat Islam seterusnya berpindah ke tangan Hafsah Isteri baginda s.a.w yg juga merupakan puteri saidina Umar.
Islam semakin berkembang dan meluas….dari sehari ke sehari semakin ramai yang memeluk agama Islam berkat kegigihan sahabat dan tabiin dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Maka, ramailah orang yang bukan dari bangsa arab yang membaca al-Quran. Oleh kerana al-Quran pada masa itu masih lagi tidak ada baris dan titik seperti yang ada pada hari ini maka ia amat sukar sekali untuk dibaca sehingga banyaklah berlaku perselisihan dalam bacaan.
Suatu hari dalam pemerintahan Saidina Uthman ketika berlakunya peperangan di Yarmuk perselisihan semakin menjadi-jadi di antara umat Islam yang menyertai peperangan dan hampir berbunuh-bunuhan. Lalu saidina Uthman mengambil inisiatif untuk menyalin al-Quran dalam beberapa mashaf dan dibariskan untuk memudahkan membacanya. Mashaf-mashaf tersebut dihantar ke negara-negara Islam dengan qiraat yang mudah dan bersesuaian dengan negara tersebut bersama wakil dari sahabat untuk memberi tunjuk ajar.
Setelah itu, agama islam semakin pesat dan keilmuan dan penemuan islam semakin berkembang maka lahir satu golongan yang mengkaji dan meneliti al-quran, yang menyusun dan meriwayatkan ilmu qiraat dengan lebih teliti yang dikenali sebagai Qurra’.
Merekalah yang menyusun kaedah dalam ilmu Qiraat demi memudahkan generasi yang akan datang agar tidak timbul sebarang perselisihan yang besar dalam membaca al-Quran. Juga supaya matlamat dan impian Rasulullah s.a.w terhadap umatnya agar sentiasa membaca dan mengamalkan Al-Quran terlaksana.
Benarlah janji Allah yang akan memelihara al-Quran hingga sampai kepada kita pada hari ini tanpa sebarang pengubahan dan penyelewangan dan akan terus terpelihara…Demikianlah Allah merakamkan melalui firmanNya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memeliharanya."
Janji Allah tidak ada siapa yang dapat mengubahnya walaupun orang-orang yang memusuhi islam cuba untuk melakukan pelbagai penyelewengan, mentafsir mengikut kemahuan sesuka hati.
Mengenangkan pemeliharaan Allah melalui apa yang dilakukan oleh para sahabat amat terharu dengan kegigihan mereka dalam memelihara ayat-ayat suci ini. Semuanya adalah untuk kita ada hari ini kerana bimbang kita tidak tahu, tidak pandai, keliru
dan tidak memahami al-Quran! Tapi….apa yang kita lakukan? Tepuk dada tanyalah iman…mudah-mudahan kita juga dapat meneruskan kesinambungan ini . Wallahu a’lam